Category Archives: Ulasan

Menyesal Tonton Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal…

Menyesal tonton filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal agak lambat. Mungkin kurang rasa teruja pada mulanya. Namun dengan ajakan anak-anak, tertonton juga.

Apa yang berlegar difikiran adalah adakah ianya sekadar konsep yang sama dibawakan seperti dalam filem Magika? Kerana temanya dongeng rakyat, kisah Raja yang jahat memegang takhta dimasukkan sekali watak dari cerita rakyat seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Mat Jenin, Pak Belalang, Raja Bersiong, Tanggang dan Bawang Putih & Bawang Merah seakan sama konsep seperti Magika. Namun anggapan saya tidak tepat walau sedikit pon. Meleset teruk andaian saya.

Penceritaan sangat bagus. Gabungan kisah dongeng cerita rakyat dalam filem ini sangat luar biasa.  Menghiburkan sepanjang masa, hebat. Penuh dengan pelbagai rasa menerusi setiap babak, ada sedih, cemas juga aksi yang baik.

Ceritanya bermula dengan pertarungan Raja Bersiong untuk menguasai Inderaloka. Kemudian kita dibawa ke alam realiti yang mana Upin, Ipin dan kawan-kawan terjumpa keris yang tidak berbilah sewaktu membantu mengemas dan membersihkan stor Tok Dalang. Keris itu seolah mempunyai kuasa dan secara magisnya mereka terbawa ke alam fantasi Inderaloka. Di Inderaloka kanak-kanak tersebut terpecah kepada dua kumpulan. Mereka bertemu dengan  Mat Jenin, Pak Belalang, Bawang Putih dan karakter yang lain.

Di Inderaloka mereka dapati ada hubung kait Keris yang mereka temui itu, Keris Siamang Tunggal dengan apa yang berlaku di sana. Kehadiran Keris Siamang Tunggal ke Inderaloka dapat dihidu Raja Bersiong, Raja yang zalim. Maka, upin-upin dan rakan-rakan diburu kuncu-kuncu Raja Bersiong. Bermulalah pengembaraan mereka di bumi Inderaloka. Berjayakah mereka menyelamatkan Keris Siamang Tunggal dari jatuh ke tangan Raja Bersiong?

Yup, begitulah kisahnya. Kedengaran bosan bukan? Tapi olahan penceritaan yang bijak menjadikan ianya sangat menarik dan tak dapat disangka apa yang akan berlaku pada setiap babak seterusnya.

Pengembaran Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal sarat dengan nilai murni seperti persahabatan, kasih sayang ibu & anak (Tanggang), hubungan adik beradik (Upin & Ipin dan Bawang Putih & Bawang Merah) dan banyak lagi. Antara Momen yang menarik adalah saat mereka diserang Todak. Wow. Tak pejam mata masa babak tu. 

Gambaran dunia fantasi Inderaloka sangat mempersonakan dibuai pula dengan lagu-lagu ala musical filem animasi Disney dan skor Musik sangat mengikut mood. Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal  menepati konsep animasi yang sepatutnya. Penceritaan penuh pengembaraan disulami dengan pembangunan karakter yang baik, animasi yang penuh magis dan watak-watak tak stereotaip kecuali Jarjit (ada lagi ke yang cakap macam ni).

Filem yang sangat menyeronokkan, penuh pengajaran dan buat budak-budak zaman gajet mengenali serta mendekati kisah-kisah dan watak-watak dari cerita rakyat. Boleh dikatakan sempurna serba-serbi, animasi power! Dengan penuh harapan dapat ke peringkat Antarabangsa. Memang layak pon. Tahniah kepada team kreatif anak-anak muda Les’ Copaque Production.

p/s: Terdapat product placement, tapi tak mengganggu pon.


UIKST_POSTER_DARK.jpg

UIKST_POSTER_UPIN_IPIN.jpg

Advertisements

BANGSAWAN DENDAM LAKSAMANA (2018)

Teater-Bangsawan-Dendam-Laksamana-7.jpg
Kali pertama menyaksikan pementasan bangsawan adalah pada 21 tahun  lepas iaitu Bangsawan Megat Panji Alam. Rindunya pada bangsawan terubat kali ini dengan berpeluang menonton Bangsawan Dendam Laksamana baru-baru ini. Pementasan kali ini adalah sebahagian dari siri jelajah JERAYAWARA BANGSAWAN DENDAM LAKSAMANA.

Teater-Bangsawan-Dendam-Laksamana.jpg

Sinopsis

Bangsawan Dendam Laksamana berkisarkan kisah sejarah Melayu pada era Johor Lama iaitu ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’. Kisah ketaatan Panglima Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) pada Sultan Mahmud II disulami  irihati, dengki dan dendam Seri Bija Wangsa yang mahu memiliki kuasa, maka timbul segala fitnah ditaburkan kepada Datuk Laksamana Megat Seri Rama.

Kemuncaknya hanyalah disebabkan seulas nangka, terus membangkitkan kemurkaan Sultan. Maka hilanglah sifat kemanusiaan dan sekelip mata kesetiaan yang tak berbelah bagi oleh Laksamana Megat Seri Rama hilang begitu saja.

Teater-Bangsawan-Dendam-Laksamana-4.jpg

Istimewa

Pengalaman menyaksikan pementasan ini memang tak sama dengan bacaan dan tontonan filem lama hitam putihnya. Istimewanya pementasan ini ada aksi, cinta, drama dan komedi. Lakonan hebat peneraju utama Hairi Safwan sebagai Laksamana Megat Seri Rama sangat berkesan dengan Isterinya Wan Anum dilakonkan Aidilla Shaffi punya jiwa. Datuk Jalaludin Hassan sebagai Datuk Bendahara, begitu tersendiri berbeza dengan lakonan beliau yang lain. Juga sangat terkesan dengan Lakonan Anwar Rusdini sebagai Sultan Mahmuh Syah II, Megat Shahrizal  pula menimbulkan resah dan sakit hati penonton dengan watak Seri Bija Wangsa nya, Que Rose sebagai Tun Aman sangat bergaya dan ramai lagi yang lain semua pun sangat bagus ya.

Teater-Bangsawan-Dendam-Laksamana-3.jpg

Bangsawan Dendam Laksamana punya bahasa dialog yang sangat puitis tetapi mudah difahami setiap bait-bait katanya. Elemen lawak yang diselitkan juga sungguh bersahaja. Gambaran tentang kesetiaan Megat Seri Rama antara Sultan dan isterinya juga jelas. Detik-detik romantis juga sangat mempersona. Gabungan penataan cahaya, muzikal dan skor yang sangat memainkan peranan penting dan sungguh dramatik, lagi-lagi sewaktu Wan Anum dibunuh dan Sultan Mahmud ditikam diatas julang memang terasa menusuk ke sanubari. Tambahan, sehingga ke persembahan extra turn juga sangat baik.

Sangat hidup ya pementasan Bangsawan Dendam Laksamana ini, lagi-lagi apabila berpeluang menonton betul-betul dihadapan pentas bahagian tengah pula. Tarian, joget, koreografi serta aksi depan mata menjadikan tontonan memang berperasaan sepenuh jiwa sepanjang pementasan.

Sebenarnya tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata untuk menggambarkan betapa penuh perasaan menyaksikan persembahan Bangsawan Dendam Laksamana ini sepertimana Tauke Panggung kata, Penuh Dinamisme. Sebuah persembahan yang mantap.

Teater-Bangsawan-Dendam-Laksamana-2.jpg

Kepada yang terlepas pementasan di KL, jangan risau Bangsawan Dendam Laksamana ini akan menjelajah ke beberapa buah negeri seluruh Malaysia.

Jadual Bangsawan Dendam Laksamana.jpeg
Syabas dan beribu-ribu tahniah diucapkan kepada pengarahnya Pat Ibrahim serta nukilan skrip oleh Siti Jasmina dan kepada seluruh pasukan yang terlibat dengan pementasan ini, anda sangat hebat.

-sani-

Pulang (2018)

Pulang

Pulang bukan karya klise, bukan melodrama leleh dan bukan cerita stereotaip. Ianya sebuah kisah penantian cinta lebih 60 tahun merentas 3 generasi.

Filem arahan pengarah terkemuka, Kabir Bhatia dengan sentuhan lakon layar Mira Mustaffa ini
berdasarkan kisah benar Datuk Ahmad Izham Omar ini dimulakan dengan syot yang Indah mempersona dengan sinematografi menggambarkan keindahan pantai Serkam.

Kita diperkenalkan dengan watak nenek tua (Che Tom) yang terlantar sakit membuka cerita kepada cucunya (Ahmad) meminta menjejak suaminya (Othman) yakni datuk kepada Ahmad. Teknik suntingan imbas kembali ke zaman 40an sangat bergaya macam filem Titanic, cantik.

Kita terus dibawa ke era mulanya bibit percintaan Othman seorang nelayan dengan Che Tom seterusnya berkahwin. Mulanya penjajahan jepun semua lelaki dipaksa bekerja dengan Jepun dan bermulalah perpisahan pertama mereka. Saat bersama askar Jepun Othman mengenali Lum. Mereka saling membantu melarikan diri daripada askar Jepun untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Selepas tamatnya perang, Othman memutuskan ingin menjadi kelasi kapal demi mencari kemewahan dan kesenangan untuk isteri dan anaknya. Persahabatan antara Othman dengan Lum makin akrab apabila seolah ada jodoh apabila bertugas di kapal yang sama. Pemergiannya kali itulah bermulanya tanda tanya kenapa Othman tidak pulang berpuluh tahun lamanya.

Pulang lebih kepada kisah biografi pengembaraan Othman dengan konflik bermula semasa zaman jepun, keberanian menangkap ikan di tengah laut semasa ribut dan suka duka menjadi kelasi kapal.

Ketidakpulangan Othman membuat Che Tom dan anaknya Omar ternanti-nanti. Mereka terus yakin bahawa Othman akan pulang. Hanya poskad yang dikirimkan dari Othman kepada isteri dan anaknya.  Ianya jelas sebab kita telah ditunjukkan bahawa watak Othman seorang yang tidak pandai menyusun ayat daripada detik mula pertemuan Othman – Che Tom. Pencarian Othman tidak pernah  terhenti bermula dengan kembara Che Tom sendirian ke Hong Kong, Omar ke Liverpool, dan Ahmad juga mencari jejak datuknya apabila didesak neneknya.

Secara tak langsung Pulang adalah kisah konflik perhubungan kekeluargaan antara suami dan isteri, anak dan bapa, cucu dan nenek.

Rekaan set sememangnya wajar dipuji. Set ruang kapal, lokasi tahun 50an seperti Hong Kong, semuanya tampak realistik.

Pulang istimewa sebagai sebuah kisah biografi. Ianya bergerak laju dan ada sedikit kelompongan disana sini. Dua jam berlalu bagai tak terasa. Namun saya sangat inginkan versi extended yang mana babak babak dramatik dan emosi dipanjangkan.

Setelah membaca novel adaptasi dari filem Pulang, kita dapati pada versi novel lebih terperinci. Namun, ada juga yang kita tidak ketahui pada versi novel terjawab pada versi filem. Keduanya saling melengkapi.

Pulang pada akhirnya terpulang pada penonton untuk rasa apa yang ingin dirasai. Anggapan saya Pulang adalah pepohon pokok, buahnya lain-lain bagi setiap yang menonton.

Pulang tetap epik dengan caranya yang tersendiri, syabas team rekaan produksi, lakonan yang mantap serta kualiti filem yang amat baik.

Ayuh sokong filem kita!

Saya bagi 4.5 dari 5.

p/s: Stanby tisu.

-sanikamilsani-

 

-Review / ULasan FiLem PuLang